Wanita curi wang simpanan ibu didenda RM35,000

SEORANG suri rumah didenda RM35,000 oleh Mahkamah Majistret Pengerang hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua tuduhan mencuri wang milik ibunya berjumlah RM130,000, empat bulan lalu.

Keputusan dibuat Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin terhadap Norhasikin Abu Bakar, 31, selepas dia membuat pengakuan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan pertama, wanita itu didakwa mencuri RM100,000 menggunakan aplikasi THiJARI milik ibunya yang berusia 67 tahun dengan niat mencuri wang itu bagi tujuan peribadi di Felda Gugusan Adela, Kota Tinggi kira-kira jam 10 pagi pada 21 Ogos lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, Norhasikin didakwa mencuri RM30,000 menggunakan kad ATM Bank Islam juga milik ibunya dengan niat yang sama di Bank Islam cawangan Bandar Penawar di sini, pada waktu dan hari yang sama.

Dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia tidak ada pendapatan dan suami yang bekerja tidak mempunyai pendapatan tetap.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Ayu Hidayah Mohd Safri yang mengendalikan pendakwaan memohon hukuman setimpal memandangkan kerugian itu dialami ibunya sendiri dan wang itu masih belum diperoleh semula.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,000 bagi pertuduhan pertama dan RM15,000 bagi pertuduhan kedua serta dua tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu ibu tertuduh mendapati anaknya telah menggunakan aplikasi THiJARI miliknya tanpa kebenaran dan pengetahuannya dengan memindahkan wang dari akaun Tabung Haji sehingga berjumlah RM100,000 bagi tujuan peribadi.

Pada hari yang sama, pengadu mendapati tertuduh menggunakan kad ATM Bank Islam miliknya tanpa kebenaran dan tanpa pengetahuan pengadu untuk melakukan tiga kali transaksi pengeluaran wang sehingga berjumlah RM30,000 bagi tujuan peribadi tertuduh.

Polis yang kemudian menerima laporan dibuat pengadu telah menahan tertuduh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, kira-kira jam 4.30 petang pada 26 Oktober lalu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img