SEORANG wanita cedera di lutut akibat terjatuh selepas diragut dua lelaki bermotosikal di Jalan Setia 3/2, Taman Setia Indah, Johor Bahru pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.49 pagi itu, mangsa yang berusia 51 tahun dan bekerja sebagai akauntan sedang berjalan kaki menuju ke sebuah kedai makan sebelum dihampiri dua lelaki menaiki sebuah motosikal.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek cuba menarik beg silang mangsa namun gagal sebelum berlaku pergelutan sehingga telefon bimbit mangsa terjatuh.
“Salah seorang suspek mengambil telefon bimbit tersebut dan melarikan diri bersama rakannya. Mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian lutut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rakaman video kejadian tersebut daripada dashcam sebuah kenderaan berdurasi 29 saat kini tular dalam media sosial.
Raub berkata, kerugian dialami mangsa membabitkan sebuah telefon bimbit iPhone 13 Pro Max bernilai kira-kira RM1,200.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memakai topi keledar bertutup muka dan nombor pendaftaran motosikal tidak dapat dikenal pasti.
“Kawasan kejadian juga tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), namun polis memperoleh rakaman dashcam orang awam yang merakam insiden berkenaan,” katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
“Saksi atau individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-221 2999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai agar lebih berhati-hati, terutama ketika berjalan sendirian atau di kawasan sunyi, selain memastikan barangan berharga disimpan dengan selamat bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah jalanan,” katanya.


