SEORANG wanita berasa sebak selepas Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, melepas dan membebaskannya daripada tuduhan pengabaian kanak-kanak yang juga anak asuhannya hingga menyebabkan kecederaan di bahagian mata.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad turut menetapkan agar wang jaminan RM5,000 yang dibayar oleh tertuduh, Norriza Khamis, 48, dikembalikan.
Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.
“Selepas meneliti keterangan saksi pendakwaan, saksi pembelaan, eksibit dan hujahan kedua-dua pihak serta menimbangkan keseluruhan kes, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.
“Oleh demikian, OKT (tertuduh) dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan. Wang jaminan dikembalikan,” katanya, lapor Harian Metro.
Norriza dituduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan kanak-kanak lelaki yang ketika kejadian berumur tiga tahun didapati meninggalkannya tanpa persediaan, pengawasan dan pemeliharaan munasabah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Putra Permai 2, pada 24 Julai 2023.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 33(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary manakala tertuduh diwakili peguam, Mahinderjit Singh dan Mohamad Khazali Yin.
Keterangan lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan diambil mahkamah sepanjang tempoh kes mula dibicarakan sejak 19 Mac 2025 hingga 10 Disember lalu selepas tertuduh didakwa dengan kesalahan itu pada Oktober 2023.
Mohamad Khazali ketika ditemui selepas prosiding itu berkata, tertuduh yang juga ibu tiga anak menghidap penyakit buah pinggang sejak lima tahun lalu dan hanya memgambil upah mengasuh anak jiran termasuk mangsa.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Norriza berkata, dia bersyukur apabila dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu dengan menganggap doanya dimakbulkan.


