SEORANG lelaki didakwa di mahkamah daerah di Singapura hari ini atas dakwaan terlibat dalam penghantaran bungkusan berisi daging khinzir ke sebuah masjid.
Bill Tan Keng Hwee, 61 tahun, didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan perkauman seseorang.
Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Tan didakwa telah menghantar sampul surat yang dialamatkan kepada Masjid Al-Istiqamah di 2 Serangoon North Avenue 2, yang mengandungi seketul daging babi dan nota provokasi.
Memetik laporan Berita Harian Singapura, seorang wanita dihantar ke hospital kerana sesak nafas akibat kejadian itu, manakala beberapa yang lain keluar dari masjid tersebut pada 24 September apabila bungkusan itu ditemui.
Tan dikatakan terlibat dalam beberapa kes serupa di masjid lain di Singapura.
Pihak pendakwa polis meminta Tan direman selama seminggu untuk siasatan lanjut.
Apabila ditanya mengenai permintaan itu, Tan, yang hadir di mahkamah melalui pautan video, bertanya sama ada dia boleh memakai pelitup jika dia dibawa keluar untuk siasatan.
“Itu akan diputuskan oleh pegawai penyiasat,” kata hakim.
Jika disabit kesalahan, Tan berdepan hukuman penjara tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Tan sebelum ini telah diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam penghantaran bungkusan melalui pos dengan niat sengaja melukakan perasaan kaum seseorang.
Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa mereka telah menerima maklumat mengenai satu bungkusan mencurigakan yang dihantar ke Masjid Al-Istiqamah pukul sekitar 5.20 petang pada 24 September.
Bungkusan tersebut disahkan mengandungi seketul daging babi dan nota provokasi.
Polis mengenal pasti Tan melalui siasatan di kawasan masjid serta imej daripada kamera polis dan menahan warga emas itu kelmarin. Dia telah ditangkap kelmarin.
Pada hari yang sama, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, K. Shanmugam, berkata terdapat beberapa kejadian serupa yang melibatkan masjid lain.


