Warga emas maut digilis lori di Jalan Ipoh

SEORANG lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Ipoh berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, di ibu negara pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 11.13 pagi membabitkan mangsa yang berusia 79 tahun dan menunggang motosikal.

Menurut beliau, lori dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun tersebut datang dari arah Jalan Ipoh membelok ke kiri menuju Jalan PPR Kampung Batu manakala motosikal dinaiki mangsa dari arah Jalan Kampung Batu mahu membelok ke kanan.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dan digilis tayar belakang lori.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Zamzuri menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan memberikan tumpuan sepenuhnya terutama ketika mahu membelok di persimpangan.

“Pastikan keadaan persekitaran selamat sebelum meneruskan perjalanan dan berikan tumpuan sepenuhnya ketika memandu,” katanya.

Beliau turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img