Zamri, Arun mengaku tidak bersalah dakwaan melakukan khianat awam

PENCERAMAH bebas, Zamri Vinoth dan aktivis Arun Dorasamy didakwa di mahkamah berasingan hari ini atas tuduhan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam, baru-baru ini.

Zamri, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.

Dia didakwa membuat hantaran di Facebook pada 3 Februari yang boleh menimbulkan ketakutan atau kegusaran dalam kalangan orang awam berkaitan satu perhimpunan melibatkan ‘kuil haram’.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail mencadangkan jaminan RM10,000 namun tertuduh yang diwakili peguam Hariz Yusoff memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh dan tidak cuba melarikan diri.

Hariz juga mengemukakan surat daripada Majlis Agama Islam Songkhla yang menyatakan Zamri berada di Songkhla, Thailand, dari 9 hingga 12 Mac untuk menguruskan perkahwinan pasangan.

“Anak guam saya terlibat dalam menguruskan perkahwinan secara kerjasama antara Majlis Agama Islam Songkhla dan Majlis Agama Islam Perlis,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Zamri menyerahkan pasportnya sementara menunggu kes selesai. Mahkamah juga menetapkan 29 April untuk sebutan kes.

Sementara itu, Arun turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang atas pertuduhan sama.

Arun atau nama sebenar Arumugam Dorasamy, 56, didakwa membuat kenyataan menyalahi undang-undang dalam satu video yang dimuat naik di akaun Instagramnya, @arun_dorasamy, kira-kira jam 3.45 petang 12 Mac tahun lalu di Ikea Batu Kawan, Pulau Pinang.

Timbalan Pendakwa Raya Nazran Sham dan Airina Syazreen Zainurin yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Nurul Ainna Ahmad kemudian membenarkan jaminan itu dan menetapkan 22 Jun untuk penyerahan dokumen.

Arun, yang membayar jaminan itu diwakili oleh peguam T Gunaseelan, Balwant Singh Purba dan Dickson Eng.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img