POLIS menahan 10 lagi individu dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki tempatan di Medan Selera Sungai Bakap, Nibong Tebal pada Selasa lalu yang mengakibatkan seorang lelaki maut dan dua lagi cedera.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, tangkapan terbaharu itu dilakukan menerusi serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Selatan dan di kawasan Taiping, Perak semalam.
Menurutnya, tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini seramai 14 orang selepas empat lelaki ditahan dalam tempoh 48 jam selepas kejadian berlaku.
“Kesemua suspek dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian serangan menggunakan objek tajam yang berlaku di lokasi berkenaan.
“Suspek yang ditahan berusia antara 24 hingga 54 tahun dan dipercayai merupakan ahli kongsi gelap yang aktif di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang mangsa selepas dikatakan tidak berpuas hati mengenai masalah hutang.
Mangsa iaitu lelaki berusia 59 tahun yang cedera parah akibat tetakan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia manakala dua lagi yang cedera parah.
Azizee dalam pada itu berkata, hasil semakan mendapati 10 daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.
Selain itu, beliau berkata, polis turut menggempur beberapa kawasan yang dijadikan tempat ahli kumpulan terbabit berkumpul bagi mengesan saki-baki suspek yang terlibat dalam kejadian itu.


