SEORANG penghantar makanan berdepan `malam yang menyiksakan’ apabila motosikal ditungganginya sesat disebabkan terlalu percaya kepada aplikasi GPS yang digunakan untuk menghantar pesanan di Putrajaya tengah malam tadi.
Bukan setakat sesat malah lelaki berusia lingkungan 20-an itu ketika mencari arah tuju turut dikejar anjing liar menyebabkan motosikal ditungganginya tersangkut dalam lumpur tebal.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.05 tengah malam tadi apabila penunggang itu tidak mampu lagi meneruskan perjalanannya selepas motosikalnya terperangkap dalam lumpur tidak jauh dari IOI City Mall di Putrajaya.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, mangsa berusaha mengeluarkan motosikalnya yang terperangkap di dalam lumpur namun gagal.
“Pemuda itu akhirnya membuat keputusan menghubungi dan meminta bantuan APM untuk mengeluarkan motosikalnya itu.
“Sebaik sahaja menerima panggilan sepasukan empat anggota APM dari Pusat Kawalan Operasi Daerah Putrajaya bergegas ke lokasi,” kata jurucakap itu hari ini.
Menurutnya, ketika ditemukan, penunggang lelaki terbabit didapati terperangkap di kawasan gelap dan berlumpur berhampiran curam sedalam 12 meter.
“Anggota APM mengambil masa hampir 10 minit untuk mengeluarkan motosikal lelaki terbabit dari dalam lumpur.
“Selepas berjaya dikeluarkan, penunggang itu meneruskan perjalanan ke lokasi ditujunya,” kata jurucakap itu lagi.


