10 termasuk empat beranak disambung reman kes gaduh depan pasar awam

SERAMAI 10 individu termasuk empat beranak yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan di hadapan Pasar Awam Melor, Kota Bharu pada 25 Disember lalu disambung reman tiga hari di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid ke atas lima lelaki dan lima wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an.

Tempoh reman lanjutan tersebut berkuat kuasa bermula esok hingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lanjutan reman berkenaan bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam.

“Mereka sebelum ini ditahan Sabtu lepas dan direman empat hari serta disambung tiga hari lagi,” katanya.

Sementara itu, Mahkamah Majistret sama semalam turut membenarkan dua beradik wanita berusia 28 dan 30 tahun yang ditahan pada Jumaat lepas, disambung reman tiga hari hingga Khamis bagi membantu siasatan kes yang sama.

Sebelum ini, polis menahan seramai 12 individu terbabit selepas terlibat pergaduhan kira-kira jam 2.30 petang Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dilaporkan mengalami kecederaan pada seluruh bahagian badan.

Rakaman video kejadian turut tular di media sosial memaparkan pergaduahan yang pada awalnya melibatkan dua wanita sebelum beberapa individu lain termasuk lelaki dan wanita dipercayai ahli keluarga masing-masing campur tangan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img