Tiga termasuk remaja bawah umur didakwa seludup warga asing

DUA wanita tempatan termasuk seorang remaja bawah umur serta seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan menjalankan penyeludupan migran pada awal Disember lalu.

Tertuduh, Umi Kalsom Abidin, 29, dan remaja berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Sementara itu tiada pertuduhan dibacakan terhadap lelaki warga asing, Kyaw Zin Lin, 19, kerana memerlukan jurubahasa berikutan tidak memahami bahasa Melayu.

LELAKI warga Myanmar dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk dibacakan pertuduhan penyeludupan migran pada awal Disember lalu

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi individu yang masih bebas dengan niat bersama telah menjalankan aktiviti penyeludupan migran melibatkan lima warga Myanmar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah pada jam 6.40 petang pada 2 Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Siti Nur Amalina Harun, manakala Kyaw Zin Lin diwakili peguam, K Puvirajan. Umi Kalsom dan remaja berkenaan bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Siti Nur Amalina tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan berkenaan tidak dibenarkan jaminan dan memohon tarikh baharu bagi kehadiran jurubahasa.

Roslan kemudiannya menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes dan kehadiran jurubahasa Myanmar.

Kyaw Zin Lin turut menghadapi pertuduhan imigresen di Mahkamah Bukit Mertajam, namun mahkamah menetapkan 23 Februari depan untuk kehadiran jurubahasa.

Difahamkan, Umi Kalsom dan remaja berkenaan berperanan sebagai transporter manakala tertuduh lelaki bertindak sebagai ejen.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img