MENTERI Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan mengumumkan penubuhan International Coalition to Financially Support the Palestinian Authority dengan Kerajaan Arab Saudi menyumbang sebanyak AS$90 juta (RM380 juta).
Beliau berkata, Arab Saudi kini bekerjasama dengan Amerika Syarikat bagi menamatkan perang di Gaza.
Pada sidang media bersama Menteri-Menteri luar termasuk Mesir, Jordan, Sepanyol, Norway dan beberapa negara lain di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Putera Faisal menegaskan, pakatan itu akan membina hala tuju jelas serta mewujudkan mekanisme berkesan bagi menyokong rakyat Palestin.
“Penyelesaian dua negara akan memastikan keselamatan dan keamanan di rantau ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, setakat ini, sebanyak 159 negara telah mengiktiraf negara Palestin.
“Kewujudan negara Palestin kini menjadi hakikat yang tidak boleh diputar balik dengan sokongan antarabangsa yang semakin meningkat,” ujarnya.
Putera Faisal menambah, mesyuarat antarabangsa terbaharu itu memberi tumpuan untuk menterjemahkan Deklarasi New York kepada pelan pelaksanaan yang menyokong penghentian perang, memastikan perpaduan Tebing Barat dan Gaza, serta memperkasa Pihak Berkuasa Palestin.
“Kami berbesar hati kerana Washington turut memberi tumpuan kepada usaha menamatkan perang di Gaza, yang selaras dengan penubuhan negara Palestin,” katanya lagi.
SEMENTARA itu bercakap kepada wartawan di White House, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menegaskan, beliau tidak akan membenarkan Israel melaksanakan rancangan untuk mengilhak (merampas tanah) Tebing Barat, sekali gus menolak desakan ahli politik sayap kanan Israel yang mahu meluaskan kedaulatan nebara itu ke atas wilayah berkenaan.
Kata Trump, langkah itu hanya akan memadamkan harapan penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaya maju.
“Saya tidak akan benarkan Israel ilhak Tebing Barat. Tidak, saya tidak akan benarkan. Ia tidak akan berlaku. Cukuplah. Masa untuk hentikan sekarang,” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval, White House.
Kenyataan itu dibuat ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tiba di New York bagi menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini
Setakat ini, pejabat Netanyahu belum memberi sebarang respons terhadap kenyataan Trump.
Israel melakukan ilhak atau merampas Tebing Barat dalam perang tahun 1967 dan sejak itu penempatan Yahudi di wilayah berkenaan semakin berkembang dengan rangkaian jalan serta infrastruktur lain yang terus menghakis tanah yang dituntut Palestin.
Trump sebelum itu bertemu pemimpin dan pegawai dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir, Jordan, Turkiye, Indonesia serta Pakistan di New York pada Selasa bagi membincangkan perang hampir dua tahun di Gaza antara Israel dan Hamas.
Dalam pertemuan itu, negara-negara Arab dan Islam memberi amaran keras mengenai akibat buruk jika Israel meneruskan rancangan ilhak, satu mesej yang menurut Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud, “difahami dengan jelas” oleh Trump.
Difahamkan, kira-kira 700,000 peneroka Israel kini tinggal di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, di samping 2.7 juta penduduk Palestin.


