SEORANG wanita antara dua individu yang ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes bermain mercun secara berbahaya dari bumbung suria atau sunroof sebuah kenderaan yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 2.30 petang membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 21 dan 28 tahun.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di Sungai Buloh dan Seksyen 9 Shah Alam bagi membantu siasatan kes itu.
“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Satria, dua unit telefon bimbit serta batang mercun yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Kedua-dua mereka direman selama tiga hari sehingga 31 Mac untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan aksi berbahaya seorang lelaki dipercayai bermain mercun dari sunroof sebuah kereta yang sedang bergerak di sekitar Persiaran Ficus Seksyen U15 Shah Alam.
Polis menerima laporan pada jam 12.48 tengah hari semalam selepas video berkaitan insiden itu tular dalam media sosial, dan mengesahkan ia berlaku di kawasan Elmina Rainforest.


