SERAMAI 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 menerusi MyKad masing-masing bermula 9 Februari ini.
Ketika mengumumkan perkara itu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu diberikan secara menyeluruh kepada semua rakyat dewasa tanpa mengira latar belakang.
‘’ Ia ebagai langkah meringankan beban kos sara hidup menjelang perayaan. Ini dengan maksud (untuk) persiapan Ramadan dan juga untuk sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam perutusan khas di Perhimpunan Bulan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Bantuan SARA RM100 one off diperkenalkan kali pertama pada 31 Ogos 2025 kepada semua rakyat Malaysia dewasa 18 tahun ke atas , dengan peruntukan keseluruhan sekitar RM2 billion
Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kewangan dan laporan media, lebih 98 % penerima telah menggunakan kredit SARA untuk membeli barangan asas, dengan jumlah penggunaan kira-kira RM3.3 bilion sehingga 13 Oktober 2025.
Dalam perutusan itu juga, Perdana Menteri turut memberitahu, bantuan SARA bulanan sehingga RM200 akan mula dikreditkan secara berperingkat menerusi MyKad penerima seawal 9 Januari.
‘’Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Satu sehingga RM500 pula akan dikreditkan bermula 20 Januari,’’ katanya.


