Tiga ditahan bersama senjata api, amunisi tanpa lesen di Jasin

POLIS menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan merampas sepucuk senjata api bersama amunisi dalam serbuan di sebuah rumah di daerah Jasin, Melaka petang semalam.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 5.30 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki berusia 54 dan 45 tahun serta seorang wanita berusia 22 tahun.

“Turut dirampas adalah senjata api dan amunisi yang diletakkan di atas sebuah meja di bawah garaj rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semakan lanjut mendapati kedua-dua lelaki berkenaan masing-masing mempunyai tiga dan tujuh rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, manakala wanita terbabit tiada rekod jenayah.

Lee berkata, antara barangan yang dirampas adalah sepucuk senjata api jenis shotgun berwarna coklat, satu unit penghadang tangan senjata api jenis shotgun serta satu unit tali pinggang peluru.

“Selain itu, polis turut merampas 10 butir kelongsong peluru jenis 12 bore berwarna putih, masing-masing satu butir kelongsong peluru jenis 12 bore berwarna merah, hijau dan coklat, serta satu unit sarung senjata api,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Januari bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img