SERAMAI 24 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan sepanjang tahun lalu atas kesalahan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berkait beberapa kes di pintu masuk utama negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pintu masuk berkenaan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bharu.
Selain itu katanya, kes turut melibatkan Kompleks ICQS Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas.
Akta SPRM 2009 menyediakan kerangka undang-undang komprehensif bagi kesalahan rasuah, termasuk menerima atau memberi suapan, tuntutan palsu dan salah guna kuasa.
Mengenai dakwaan bahawa pegawai Imigresen yang disyaki terlibat dengan sindiket pengurusan pendatang hanya dipindahkan tanpa tindakan lanjut, Zakaria menegaskan, tindakan berkenaan sering disalah tafsir.
Beliau berkata, pemindahan pegawai yang sedang disiasat adalah langkah pencegahan awal bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan dalaman, termasuk akses kepada dokumen atau sistem berkaitan.
“Tindakan ini penting bagi menghentikan serta-merta sebarang aktiviti yang disyaki, selain menjamin ketelusan dan keadilan sepanjang proses siasatan dijalankan,” katanya, lapor Bernama.
Sebaik sahaja siasatan dalaman dilengkapkan, kata beliau, prosiding tata tertib akan dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Sekiranya terdapat unsur jenayah, tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan peruntukan sedia ada,” katanya.
Selain itu, Zakaria berkata, setiap petugas Imigresen juga diwajibkan mengisytihar harta yang dimiliki selaras Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Bagi pegawai Imigresen, katanya, kewajipan itu dimantapkan lagi melalui Arahan Pentadbiran Bil 1/2021 yang mewajibkan semua petugas melaksanakan pengisytiharan harta sekali setahun.
“Pemantauan terhadap petugas Imigresen dilaksanakan secara berterusan sebagai proses biasa melalui Unit Pematuhan, selain tindakan lanjut oleh Unit Pengesanan dan Pengesahan, Bahagian Integriti terhadap mana-mana pegawai yang diadu memiliki gaya hidup melebihi kemampuan.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada pegawai yang dikenakan tindakan atas pelanggaran Peraturan 10 serta Arahan Pentadbiran yang dikeluarkan seperti yang diperuntukkan,” katanya.


