JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 25 lori sampah dari sebuah syarikat yang dipandu warga asing dalam tempoh dua minggu operasi penguatkuasaan dijalankan jabatan itu di seluruh Selangor.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi berkenaan menumpukan terhadap syarikat tertentu berikutan banyak kemalangan membabitkan kenderaan muatan sampah syarikat berkenaan.
“Sepanjang tempoh dua minggu penguatkuasaan dilakukan, pasukan penguatkuasa JPJ negeri telah menyita sebanyak 25 lori dari syarikat yang sama.
“Ini kesalahan serius dan berulang justeru, JPJ merasakan perlu ada tindakan bersepadu untuk mengatasi perkara terbabit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Selangor di Shah Alam semalam, lapor Harian Metro.
Muhammad Kifli berkata, bagi kesalahan berkenaan JPJ hanya boleh mengambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan peruntukan hukuman yang sangat minimum.
Katanya, bagi kenderaan yang disita tindakan diambil mengikut Akta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) iaitu bagi tujuan pelucutan hak.
“Bagi kami itu tidak memadai kerana syarikat-syarikat yang menggajikan tidak dikenakan apa-apa kerana kebanyakan pekerja mereka tidak sah atau menyalah guna permit kerja.
“Untuk itu, JPJ akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi melaksanakan tindakan bersepadu terhadap pengusaha lori yang menggaji warga asing tanpa lesen memandu sah.
“Semua 25 kes ini (25 lori sampah) ini akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut terhadap syarikat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan terbaharu JPJ itu kerana kesalahan berulang seterusnya mengelakkan kejadian tidak diingini terutama kemalangan.
Ditanya sama ada JPJ sudah memanggil syarikat berkenaan susulan pelbagai kesalahan dilakukannya, Muhammad Kifli memaklumkan sebanyak empat kali libat urus sudah dijalankan setakat ini.
“Seperti biasa, pihak syarikat hanya menjanjikan mereka akan berusaha untuk memastikan pemandu digajikan adalah mempunyai semua syarat diperlukan. Namun, apabila ditahan masih berlaku kesalahan berulang itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Kifli berkata, sejumlah 5,915 kesalahan dikesan JPJ Selangor membabitkan pemandu-pemandu warga asing dengan pelbagai kesalahan bermula Januari hingga semalam.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah notis saman P22 sebanyak 2,170; notis 61(1) arah periksa (1,729); notis larangan penggunaan kenderaan (1,620); notis 114 temusiasat (154); notis 115 meminta butir pemandu (104) dan notis penahanan kenderaan 64(1) sita (138).


