DUA bot nelayan dinaiki 10 warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa permit di perairan negara kelmarin.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan oleh pasukan penguatkuasaan itu yang sedang melakukan rondaan operasi dalam Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris di perairan Selangor.
“Kedua-dua bot nelayan asing terbabit ditahan pada jam 11 pagi dan 11.30 pagi pada kedudukan 12.7 batu nautika (kilometer 25.3) barat daya Pulau Pintu Gedong.
“Pemeriksaan awal mendapati, setiap bot masing-masing dikendalikan seorang tekong bersama empat kru berusia antara 29 hingga 62 tahun.
“Siasatan mendapati, kedua-dua bot terbabit berasal dari Indonesia dan kesemua kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.
Abdul Muhaimin berkata, bot bersama kru yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Selangor.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor. Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana bot nelayan asing yang memasuki dan melakukan penangkapan ikan di perairan negara tanpa kebenaran.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan sebarang aktiviti mencurigakan di laut boleh menyalurkannya menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Selangor (013-6606652) untuk tindakan segera,” katanya.


