28 Januari tarikh keputusan permohonan peguam Albert Tei mula semakan kehakiman terhadap SPRM

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh 28 Januari depan untuk keputusan permohonan peguam Mahajoth Singh yang mewakili ahli perniagaan kontroversi Albert Tei untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Permohonan itu berhubung arahan SPRM terhadap Mahajoth untuk mengemukakan dokumen dan barang-barang berkaitan Albert.

Hakim Alice Loke Yee Ching menetapkan tarikh itu selepas  mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak hari ini.

Semasa prosiding, peguam N Surendran yang mewakili Mahajoth berhujah dalam permohonan itu anak guamnya
mahu membatalkan arahan SPRM pada 29 dan 30 November, yang memanggil Mahajoth untuk mengemukakan dokumen dan barang-barang berkaitan anak guamnya Albert.

Surendran berhujah, perintah berkenaan adalah tidak sah, dikeluarkan secara tidak wajar dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Hujah beliau, dokumen yang diminta diberikan semata-mata bagi tujuan mendapatkan nasihat undang-undang dan mewakili anak guamnya dan oleh itu tidak sepatutnya didedahkan.

Dalam afidavitnya, Mahajoth menyatakan maklumat yang diminta SPRM merupakan komunikasi terlindung antara peguam dan anak guam iaitu di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan dan Seksyen 46 Akta SPRM.

Beliau mendakwa SPRM menyalahgunakan kuasa dengan mengeluarkan arahan tersebut kerana Seksyen 46(1) Akta SPRM menyatakan penzahiran sebarang maklumat daripada peguam bela atau peguam cara hanya boleh dilakukan dengan perintah Mahkamah Tinggi.

Mendengar perkara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan itu dengan berhujah bahawa permohonan tersebut tidak boleh dicabar menerusi semakan kehakiman.

Shamsul berhujah, perintah SPRM terhadap Mahajoth yang mengarahkannya mengemukakan dokumen merupakan pelaksanaan kuasa yang dibuat dalam rangka siasatan jenayah.

“Pelaksanaan kuasa sedemikian dalam proses siasatan jenayah tidak tertakluk kepada semakan kehakiman,” katanya ketika menggesa mahkamah menolak permohonan kebenaran itu dengan kos.

Albert sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img