Apabila keberanian mengatasi kebijaksanaan

OLEH SHAHBUDIN  EMBUN

UMNO hari ini bukan sahaja sedang berdepan dengan musuh di luar, tetapi yang lebih menyedihkan apabila ada yang lebih sibuk menikam dari dalam, kononnya atas nama keberanian dan perjuangan.

Jika ikutkan hati, mahu sahaja penulis membuat komen pada hari  Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Salleh terus menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agenda penyatuan ummah dan sekaligus mahukan UMNO tidak lagi bersama dengan Pakatan Harapan semasa konvensyen khas Pemuda UMNO pada Sabtu lalu.

Pendirian Akmal itu jelas berisiko tinggi dalam konteks realiti politik semasa. Sebenarnya isu ini pernah dibangkitkan dahulu.  Tetapi apabila disertakan dengan  syarat supaya UMNO memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan, maka ia bercanggah dengan keputusan kepimpinan tertinggi parti.

Mungkin Akmal lupa, UMNO secara rasmi berada dalam Kerajaan Perpaduan hasil keputusan Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung. Kenyataan Akmal yang secara terbuka menolak PH memberi gambaran seolah-olah wujud pemberontakan dalaman dan melemahkan prinsip disiplin parti.

Akmal nampaknya bagaikan menang sorak tetapi kampung tergadai. Apa yang diperjuangkan itu merupakan retorik popular, namun adakah ia strategi bijak?  Benar , masih ramai rakyat yang mudah dan suka dengan naratif “penyatuan Ummah” .

Tidak dinafikan ini satu naratif yang boleh meraih sokongan emosi akar umbi, namun ia masih gagal menjawab beberapa persoalan yang boleh dikaitkan dengan naratif ini.

Persoalan pertama, adakah UMNO akan masih relevan dan dominan jika kembali sepenuhnya bergantung kepada Pas? Apakah jaminan UMNO tidak terus menjadi parti junior seperti pengalaman lampau? Adakah benar keputusan dalam konvensyen itu mewakili sebahagian besar akar umbi UMNO?

Kesemua persoalan ini sebenarnya telah dijawab oleh penganalisis politik  yang secara keseluruhannya berpendapat yang UMNO akan rugi sekiranya menjalin hubungan politik dengan Pas.

Ketika ini ada yang mempertikaikan apakah peranan pemuda UMNO sebenarnya? Apakah yang dilakukan oleh sayap UMNO itu sangat signifikan dalam membantu menaikkan semula nama parti.

Penulis yakin banyak program yang telah diatur dan dilasanakan oleh Pemuda UMNO untuk mempopularkan lagi UMNO dalam kalangan remaja hari ini. Sepatutnya itulah tugas dan tanggungjawab Pemuda UMNO yang perlu diperkasa dan terus diperkuatkan.

Dalam hal ini, Pemuda UMNO sepatutnya menjadi jambatan, bukan pencetus kepada perpecahan.Sebagai Ketua Pemuda, peranan Dr Akmal seharusnya mempersiapkan UMNO untuk masa depan dan terus membina pengaruh, memulihkan keyakinan orang muda, dan mengukuhkan parti dari dalam, bukannya melalui kenyataan yang mengundang kontroversi dan konfrontasi dalam  kalangan rakan-rakan yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini.

Kesimpulannya, pendirian Akmal mungkin menang sorak dalam kalangan kelompok tertentu, tetapi jika tidak disandarkan kepada strategi politik yang matang dan realistik, ia berisiko menjadikan UMNO sekali lagi terasing daripada kuasa dan gagal memulihkan kepercayaan rakyat.

Dalam politik, keberanian tanpa kebijaksanaan sering membawa kerugian yang lebih besar daripada keuntungan. Sesiapa yang menggoncang kestabilan parti sebenarnya sedang menggali kubur UMNO dengan tangannya sendiri.

Tidak salah jika Akmal mahu dilihat sebagai hero atau jaguh yang memperjuangan UMNO, namun Akmal perlu ingat bahawa wira sebenar ialah pemimpin yang menyelamatkan parti, dan bukan membakar rumah sendiri dan menuding jari kepada orang lain apabila api sedang marak.

Sorakan di media sosial tidak akan mengembalikan kerusi Parlimen dan laungan serta jeritan di pentas tidak akan membeli kepercayaan rakyat sekiranya apa yang dijeritkan itu lebih membawa kepada perpecahan.

Sebagai Ketua Pemuda, Akmal boleh mengkritik namun  serangan terbuka terhadap kepimpinan parti sendiri tidak akan membawa kekuatan, sebaliknya boleh menambahkan keretakan.

 Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam politik, tetapi cara ia disuarakan mencerminkan kematangan dan kebijaksanaan seseorang pemimpin. Akmal perlu ingat bahawa teguran yang dibuat mestilah membina, kritikan pula mesti berstrategi, dan perjuangan mesti meletakkan parti mengatasi ego peribadi.Jangan beri peluang kepada musuh kita untuk mengambil peluang.

Hakikatnya, UMNO sedang berada dalam fasa paling mencabar dalam sejarahnya. Dalam keadaan begini, setiap kata yang diluahkan  dan setiap langkah dan tindakan pemimpin boleh membawa kesan besar , sama ada menguatkan parti, atau melemahkannya.

Dalam hal ini, Akmal perlu mengambil teladan daripada Presiden UMNO Datuk Seri DR. Ahmad Zahid Hamidi yang sentiasa tenang dan terus berusaha memimpin semula UMNO ke arah zaman kegemilangan parti keramat Melayu ini.

  • Penulis adalah penganalisis politik merangkap Ketua Penerangan UMNO Cawangan Titi Beratap Bahagian Arau Perlis

*Jika ada mempunyai pandangan, komen mengenai artikel ini atau berhasrat mahu menghantar artikel di ruangan ini, anda boleh berbuat demikian dengan emel kepada editor@utusanmelayuplus.com

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img