UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan, tak mahu ‘dipatuk ular sama kali kedua di tempat sama’ – Zahid

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO akan kekal bersama dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.

Bercakap kepada wartawan di Putrajaya, Ahmad Zahid berkata dalam mesyuarat biro politik semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh  telah membentangkan resolusi dicapai di Konvensyen Khas sayap terbabit dan telah dibincangkan secara terbuka oleh pimpinan.

Bagaimanapun kata beliau tiada keputusan muktamad diambil namun menegaskan parti itu tidak akan melakukan ‘tebuk atap’ kepada kerajaan sekarang dan kembali bernostalgia dengan ‘cadangan’ tidak menjadi kenyataan sebelum ini, merujuk kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).

“Daripada awal kita tidak akan pernah melakukan tebuk atap kepada kerajaan yang ada sekarang dan kita akan bersama-sama dengan kerajaan perpaduan ini hingga tamat penggal.

“Bila pun penggalnya yang akan diumumkan nanti ia adalah penggal yang secukupnya sebelum PRU16 diadakan,” katanya lapor media.

Ketika berucap di Konvesyen Khas Pemuda UMNO pada Sabtu lalu, Akmal tidak menggesa UMNO menebuk atap sebaliknya mencadangkan parti itu menarik diri daripada kerajaan dan menjadi pembangkang.

Akmal menegaskan, Pemuda UMNO menolak sebarang usaha merampas kuasa dan ‘menebuk atap’ sehingga mengakibatkan kerajaan sedang memimpin negara ketika ini tumbang.

Beliau menegaskan tindakan itu – jika diambil UMNO – tidak akan menyebabkan kerajaan sedia ada runtuh berikutan ia mempunyai sokongan kira-kira 153 Ahli Parlimen ketika ini.

“Biarlah kita setapak ke belakang untuk melihat jauh pada masa akan datang. Ahli Parlimen yang hadir ini takutkah menjadi Ahli Parlimen pembangkang?,’’ katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kerjasama dengan Pas menerusi MN yang kembali ditiupkan susulan krisis politik di Perlis hujung tahun lalu perlu diteliti sebaiknya.

“Kita tidak mahu nostalgia menggunakan apa-apa nama pernah dicadangkan dahulu, belum dimuktamadkan lagi dan sebab itu perincian penting. Sebab kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali kedua di tempat sama,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img