PASUKAN perisikan Iran dilaporkan berjaya melancarkan satu lagi operasi awal yang disifatkan sebagai “tamparan besar” terhadap musuh Amerika-Zionis dengan menahan 39 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan rejim Israel.
Menurut kenyataan Jabatan Perhubungan Awam Kementerian Perisikan Iran, operasi tersebut dilaksanakan oleh unit perisikan di wilayah Tehran.
“Kami melaksanakan operasi proaktif oleh askar-askar tanpa nama Imam Mahdi (semoga dipercepatkan kemunculannya), yang berjaya mengenal pasti dan menahan 39 elemen yang berafiliasi dengan rangkaian operasi musuh Amerika-Zionis serta kumpulan pengganas,” menurut kenyataan itu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 27 individu dikenal pasti sebagai anggota dua kumpulan pengganas.
Seorang lagi suspek didakwa cuba menubuhkan sel operasi di wilayah Sistan dan Baluchestan dengan menggunakan senjata yang diperoleh secara haram bagi mencetuskan ketidakstabilan sebelum berjaya diberkas.
Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa mereka merampas 49 alat letupan buatan sendiri (IED), dua laras senapang Kalashnikov, 16 pistol, 50 magazin serta lebih 1,500 butir peluru.
Selain itu, turut dirampas termasuk alat renjatan elektrik (taser), gas pemedih mata, bom Molotov dan sejumlah besar bahan letupan yang dipercayai untuk tujuan pembuatan bom, serta tujuh peranti Starlink.
Dalam perkembangan sama, kementerian itu menyatakan bahawa dua daripada individu yang ditahan merupakan “tentera upahan Zionis” yang aktif di alam maya, dengan tugas menyebarkan propaganda bagi mencetuskan ketidakstabilan psikologi yang memihak kepada Israel dan menentang Iran.
Beberapa suspek lain pula didakwa menyalurkan maklumat lokasi serta pergerakan pasukan keselamatan kepada rangkaian musuh, termasuk rangkaian perisikan yang dikaitkan dengan saluran “International”.
Iran turut menuduh saluran berita berbahasa Parsi yang berpangkalan di London, dikenali sebagai “Iran International”, sebagai disokong Israel dan telah mengisytiharkannya sebagai organisasi pengganas kerana didakwa menyebarkan naratif palsu serta membantu Israel dalam mengenal pasti sasaran.
Kementerian Perisikan Iran dalam kenyataan itu turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dalam menyalurkan maklumat, dan menggesa rakyat untuk terus melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi.
IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI
FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


