SEORANG lelaki rentung apabila motosikal ditunggangnya terbakar selepas merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 264.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Seremban hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kejadian pukul 5.30 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Johor menghala ke Perak.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki telah melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Nissan yang berhenti di lorong kecemasan.
“Lori tersebut dari arah Melaka menuju ke Banting, Selangor berhenti di lokasi kerana mengalami masalah enjin,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kejadian itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala motosikalnya terbakar
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat.
“Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.


