SEBANYAK empat premis perniagaan dikompaun manakala pelbagai unit minuman keras disita dalam operasi bersepadu dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi penguat kuasa di sekitar ibu negara, semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, operasi itu dilaksanakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Katanya, tindakan khas premis perniagaan itu dilaksanakan di Jalan Bandar (Petaling Street), Jalan Jelawat (Amber Business Plaza) dan Jalan Jejaka (Taman Maluri).
“Operasi itu melibatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap aktiviti premis perniagaan yang dikendalikan warga asing, premis tanpa lesen, penjualan barangan kawalan, penggunaan alat sukat dan timbang serta barangan tidak membayar cukai atau duti eksais.
“Hasil operasi, DBKL mengeluarkan empat notis kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk pemilik premis menggaji pekerja bukan warga negara tanpa kebenaran serta menjalankan aktiviti perniagaan selain daripada lesen yang dikeluarkan.
“Tindakan penguatkuasaan itu diambil mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, katanya, pihak KPDN turut mengeluarkan satu notis kompaun berkaitan kesalahan membabitkan penandaan harga dan alat timbang sukat di bawah Seksyen 58 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.
“JKDM pula mengeluarkan empat notis di bawah kesalahan tiada lesen menjual minuman keras, tidak membayar cukai dan duti kastam.
“Selain itu, membuat tindakan rampasan ke atas pelbagai unit minuman keras (bir dan liquor) di bawah kesalahan Seksyen 32, Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam pada itu, DBKL menegaskan akan meneruskan tindakan bersepadu dari semasa ke semasa.
“Sebarang aduan atau maklum balas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya.


