SEBANYAK 525 unit peranti tembakau elektronik (vape) tidak berdaftar bernilai hampir RM14,000 dirampas dalam serbuan bersepadu menerusi Operasi Taring Alpha 3 Tangkapan dan Rampasan di beberapa premis sekitar Tawau, semalam.
Operasi berkenaan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan Task Force Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau susulan risikan serta pemantauan berterusan terhadap aktiviti penjualan produk peranti tembakau di kawasan terbabit.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, pemeriksaan mendapati premis terbabit menjual produk peranti tembakau yang tidak berdaftar dengan KKM selain pembungkusan dan pelabelan yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.
Beliau berkata pihaknya turut mengesan kesalahan pengiklanan produk peranti tembakau yang melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
“Kesemua 525 unit yang dirampas bukan produk seludup, namun ia tidak berdaftar serta gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk ada yang tidak melalui proses kemasukan yang sah,” katanya ketika ditemui selepas Ops Bazar Ramadan dan Promosi Kesihatan Tibi 2026 Tawau, semalam, lapor Harian Metro.
Menurutnya, tindakan itu adalah hasil kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa dalam memastikan operasi dijalankan secara bersepadu dan berkesan bagi menangani isu penjualan produk tidak berdaftar.
Beliau menegaskan, operasi seumpama itu akan diteruskan secara berkala bagi membanteras lambakan produk di pasaran serta memperkukuh penguatkuasaan undang-undang demi melindungi kesihatan awam.
“Penjual dan pengedar diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya garis panduan yang ditetapkan bagi mengelak tindakan tegas termasuk rampasan dan pelupusan barangan,” katanya.


