SEBANYAK 700 kenderaan terpakai musnah dalam satu kebakaran besar yang melibatkan sebuah stor penyimpanan kenderaan terpakai di Jalan Dungun Marabahai Tambalang 2, di Tuaran, Sabah hari ini.
Kebakaran dipercayai bermula daripada kebakaran di kawasan hutan berhampiran kira-kira jam 1 petang sebelum merebak ke stor penyimpanan berkeluasan kira-kira 0.8 hektar itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Anak Beki berkata, sembilan anggota dikejarkan ke lokasi bersama dua jentera serta satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Operasi pemadaman dibantu dua jentera melibatkan pasukan bomba dari BBP Lintas dan Kota Kinabalu dengan kekuatan keseluruhan 25 anggota.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, dengan api berjaya dikawal jam 3.31 petang,” katanya.
Beliau memaklumkan, kira-kira 30 kenderaan lain yang berada di lokasi sama sempat diselamatkan, namun punca kejadian masih dalam siasatan.


