‘Stop sekejap’ ke Thailand, cuti saja dalam negara sebab ’ Kat Malaysiapun ada’

SUARA AWANG SELAMAT

AWANG rasa dah sampai masanya kita bercuti kat negara sendiri. Tak payah lagi pergi ke Thailand – sekurang-kurangnya untuk sementara waktu sebab kawan Awang kat sana bagi tau Selatan Thailand teruk rosak kena bencana alam baru-baru ini.

Bila baca berita dari negara gajah putih itu terkejut Awang sebab kemusnahan bukan calang-calang. Cuba tengok fakta ini:

Wilayah Songkhla, termasuk bandar komersial Hat Yai, mencatatkan jumlah tertinggi dengan kira-kira 369,000 buah rumah terjejas. Hampir semua daerah dilanda banjir, menenggelamkan kawasan perumahan dan pusat ekonomi setempat.

Nakhon Si Thammarat pula melaporkan lebih 147,000 rumah terkesan, manakala Pattani, Narathiwat dan Yala turut merekodkan puluhan ribu kediaman rosak. Di Satun, kesan banjir memusnahkan kedai-kedai kecil, infrastruktur asas serta kawasan pelancongan

Dahsyat itu! Bukan senang nak bangkit semula dalam masa singkat. Lagipun keadaan cuaca sekarang dah tak menentu, bila-bila masa ribut boleh melanda. Ribut pula bukan setakat angin, dibawa sekali hujan lebat, tanah runtuh dan banjir.

Awang nak nasihatkan kat rakyat Malaysia termasuklah kat kawan-kawan Awang, kita ‘stop sekejap’ pergi ke Thailand. Apa kata kita tumpu bercuti kat dalam Malaysia ni. Tahun depan Tahun Melawat Malaysia, janganlah pula orang luar ‘Melawat Malaysia’, kita pi melawat negara orang.

Maksud ‘Melawat Malaysia’ boleh juga terpakai untuk rakyat tempatan. Jom kita jelajah seluruh negara. Malaysia ni banyak tempat menarik, tak kan la semua tempat kita dah pi kot?…Mesti ada lagi negeri yang belum kita teroka betul-betul.

 Cuma Awang risau perangai pengusaha hotel, chalet atau ‘homestay’, janganlah bila dah tau orang kita nak bercuti dalam negara, mula nak naik harga entah apa-apa. Yang selama ini RM150 hari biasa, RM200 hari cuti, tiba-tiba naik 100 peratus.

Servis pun kena baiklah. Kalau kita boleh bagi layanan terbaik kat pelancong asing, tak kan kat sama-sama kita tak boleh bagi layan sama.

 Kena pasti kemudahan yang diiklankan sama dengan apa yang akan dinikmati oleh tetamu. Janganlah dalam iklan kat FB, TikTok bukan main cantik, kalah calet lima bintang tapi bila sampai rupanya banyak binatang ‘menumpang’…cicak la, lipas la, tikus la.

Yang berniaga makanan pula, janganlah kenakan harga yang ‘orang kayangan pun telan air liur bila nak bayar’….isu harga makanan ini selalu berlaku bila musim cuti, harap tak berlaku.

 Oleh itu dengan keadaan di Selatan Thailand yang tidak mengizinkan, Awang harap rakyat kita akan mengambil kesempatan bercuti dalam negara. Inilah waktu terbaik untuk semua pihak termasuklah agensi-agensi  di bawah Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya mempertingkatkan promosi.

 Jangan tumpu hendak tarik pelancong asing sahaja, rakyat tempatanpun kena beri keutamaan. Banyakkan promosi. Buat betul-betul sampai orang kita kata, ‘’oo…kat Malaysiapun ada’’

 Mungkin selama ini mereka ingat apa yang dinikmati ketika bercuti di Thailand, tak ada di Malaysia. Jadi inilah kesempatan terbaik untuk mempromosikan pelancongan domestik dari semua segi dari kawasan pelancongan, penginapan, makanan hinggalah budaya.

 Kat Thailand tu macam-macam promosi , macam-macam  pakej  mereka buat untuk tarik pelancong Malaysia. Kitapun boleh buat perkara yang sama. Satu lagi jangan tumpu pelancongan sahaja, buat juga promosi memperkenalkan seni dan budaya negara ini.

Hidupkan semula khazanah seni kita yang kaya dengan pelbagai budaya dan kaum. Awang ini juga boleh menjadi tarikan kepada rakyat Malaysia untuk melancong di negara sendiri. Jangan tunggulah jom bercuti di negara kita.

Awang – suka Langkawi

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img