Apa motif batal ceramah agama pada saat-saat akhir?

SUARA AWANG SELAMAT

Awang tertanya-tanya siapa dalang di sebalik pembatalan ceramah pendakwah bebas Ustaz Wadi Annuar pada Sabtu ini di Masjid Sendayan, Negeri Sembilan.

Sebabnya kalau Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)  sudah memberi tauliah, Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai Pengerusi Hal Ehwal Islam Datuk Seri Aminuddin Harun tiada halangan dan pihak masjid tidak membatalkannya, pasti siapa juga yang membuat pembatalan itu mempunyai kuasa luar biasa.

Awang cakap luar biasa kerana berupaya mengatasi kuasa yang ada pada MAINS, Menteri Besar dan AJK Masjid Sendayan. Lebih hebat lagi ia dibatalkan saat-saat akhir ketika Ustaz Wadi sudah bersiap-sedia untuk berangkat dari Kedah ke Negeri Sembilan.

Sebenarnya ini bukan kali pertama, ulama-ulama tertentu dibatalkan ceramah mereka pada saat-saat akhir walaupun sudah mendapat izin daripada pihak-pihak  berkuasa. Awang sendiri pernah tengok bagaimana kuliah Ustaz Azhar Idrus dibatalkan pada saat-saat akhir iaitu kira-kira 4 jam sebelum ia bermula. Awang boleh lihat bagaimana kecewanya  AJK masjid yang bertungkus lumus membuat persiapan termasuk menghebahkan program itu ke seluruh negeri yang terlibat.

Sepatutnya kalau tidak benarkan mana-mana ustaz menyampaikan kuliah mereka di mana juga negeri, buatlah pengumuman awal-awal supaya pihak masjid atau surau tidak menjemput ustaz terlibat. Janganlah pada saat-saat akhir mahu membatalkannya.

Bagaimanapun Awang masih tertanya-tanya kenapa perlu ada sekatan kepada ustaz-ustaz tertentu untuk tidak menyampaikan kuliah. Awang faham ada sesetengah ustaz yang dilihat cenderung atau dianggap rapat dengan parti politik tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang mereka menyampaikan ilmu Allah SWT.

Awang yakin mereka tidaklah bodoh untuk bercakap soal politik ketika menyampaikan kuliah di masjid atau surau. Setakat ini Awang tak dengar lagi ustaz-ustaz yang boleh dianggap cukup terkenal ini menyelitkan usul politik dalam ceramah mereka.

Malangnya ustaz-ustaz tersebut tidak diberi tauliah di negeri-negeri tertentu. Kalau mahu bercakap soal ilmu, Awang rasanya mereka jauh lebih hebat daripada sesetengah pak-pak ustaz dalam jabatan agama. Bagaimanapun mahu tidak mahu, kita perlu hormati bidang kuasa negeri-negeri yang menetapkan penceramah perlu mendapat tauliah terlebih dahulu.

Namun diharapkan larangan terhadap ustaz-ustaz tertentu tidak lagi berlaku. Sepatutnya di akhir-akhir zaman ini, kita membuka lebih banyak  ruang untuk majis-majlis agama. Inilah masanya untuk mereka yang ada kuasa menyemarakkan lagi program-program agama.

Bagaimanapun kalau negeri-negeri tertentu atas sebab politik menghalang kehadiran ustaz-ustaz tertentu, teruskanlah. Cuma jangan sampai mereka dituduh menghalang usaha menyampaikan ilmu…sudahla.

Awang – kagumi ulama, hormati ustaz



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img