SUARA AWANG SELAMAT
MEMALUKAN! Itu sahaja perkataan paling sesuai untuk menggambarkan apa yang berlaku ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025 di Shah Alam malam tadi.
Walaupun kekecohan itu hanya seketika namun ia sudah cukup untuk memalukan parti Bersatu dan akan menjadi bahan jenaka ‘Bersatu yang tidak bersatu’.
Ia juga akan membuktikan dakwaan bahawa Bersatu kini di ambang perpecahan melibatkan pemimpin-pemimpin atasannya. Dari sudut lain pula, kekecohan itu juga boleh mewujudkan persepsi sememangnya ada ahli yang mahu Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden.
Paling menarik, ada orang yang mendakwa kekecohan itu sebagai langkah mengelakkan usul menyokong Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan calon ‘poster boy’ Perikatan Nasional (PN) PRU-16 dibentangkan hari ini.

Pemimpin Bersatu terutamanya tiga watak utama iaitu Muhyiddin, Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bolehlah ‘bersilat’ apa sahaja berikutan apa yang terjadi malam tadi tetapi yang pastinya imej Bersatu sudah tercalar.
Tambahan pula kekecohan itu berlaku ‘betul-betul’ ketika Muhyiddin membaca para 88 iaitu;
‘’Katanya ada orang kutip tandatangan untuk jatuhkan Presiden. Ini tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti. Kalau Presiden dijatuhkan melalui kutipan tandangan, semua yang ada di atas pentas ini pun boleh dijatuhkan melalui cara yang sama. Ketua-Ketua Bahagian, Ketua Armada, Ketua Srikandi, Ketua Srikandi Muda, Ketua Bersekutu dan semua Ahli Jawatankuasa Bahagian pun boleh ditimpa nasib yang sama.’’
Awang tidak tahu sama ada perkara itu berlaku atau tidak, tetapi apabila ia didedahkan oleh Muhyiddin yang merupakan Presiden parti sudah pastilah gerakan itu wujud.
Ada yang bertanya kepada Awang, wajarkah Muhyiddin menyebut perkara itu sedangkan hampir 90 peratus teks ucapan beliau berkisar soal mengkritik pentadbiran kerajaan sedia ada, persiapan hadapi pilihan raya dan mengukuhkan perpaduan?
Ia disebabkan tiba-tiba Muhyiddin mendedahkan sesuatu yamg menunjukkan seolah-olah Bersatu di ambang berantakan! Nanti orang akan berkata, kalau parti sendiripun tidak stabil, macam mana hendak uruskan negara?
Mungkin itu persepsi dan mungkin juga apa yang berlaku adalah suara tidak puashati segelintir ahli tetapi kenapa Muhyiddin membangkitkan soal gerakan mahu menjatuhkan beliau dalam ucapan dasar?
Sudah pasti ada ‘virus sedang berkeliaran dalam ‘tubuh’ Bersatu’ apatah lagi ketika sidang media Muhyiddin menegaskan sekali lagi;
“Had perjawatan Presiden saya adalah selama tiga tahun dan apa-apa usaha menjatuhkan saya perlu dibuat secara berperlembagaan. Namun, persoalan sama ada akan terus menerajui Bersatu selepas tamat tempoh penggal presiden akan ditentukan kepada tahap sokongan ahli.’’
Awang berharap Muhyiddin, Hamzah dan Mohamad Azmin dapat memperbetulkan keadaan ini dan mengembalikan imej Bersatu kerana sedikit sebanyak ia sudah tercemar dengan apa yang berlaku malam tadi.
Bersatu adalah tonggak memimpin Perikatan Nasional, kalau Bersatu pun berantakan …rasanya Pas sedia ambil alih peranan itu supaya gabungan itu kekal dihormati dalam menghadapi PRU-16.
Awang – dengar macam-macam


