KERAJAAN Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan janji reformasi, selain menambah beban rakyat dengan dasar-dasar yang bercelaru.
Ketika menegaskan perkara itu,Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat semakin terhimpit akibat penghapusan subsidi, kenaikan cukai serta pengenalan cukai baharu yang melonjakkan harga barang dan perkhidmatan.
“Subsidi dihapuskan, kadar cukai dinaikkan, skop cukai diperluaskan dan cukai-cukai baharu diperkenalkan yang menyebabkan harga barang dan perkhidmatan melambung tinggi.
“Semakin terbebanlah rakyat. Ini betul-betul kerajaan yang tidak prihatin terhadap nasib rakyat,” katanya.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025 di Shah Alam.
Beliau turut membidas kegagalan kerajaan menunaikan janji-janji terdahulu termasuk isu harga minyak, tol, hutang PTPTN serta pelantikan politik.
Selain itu tegas beliau kerajaan juga berdepan krisis keyakinan akibat dakwaan campur tangan politik dalam pendakwaan kes rasuah dan kelemahan tadbir urus negara.
Pada sama, kata Muhyiddin, data ekonomi turut membuktikan kelemahan pentadbiran semasa apabila pertumbuhan ekonomi merosot, pelaburan langsung asing (FDI) menjunam serta lebihan dagangan jatuh ke paras terendah dalam sejarah mutakhir.
“Sebaliknya, di bawah pentadbiran Perikatan Nasional, pemulihan ekonomi lebih pantas dan kukuh meskipun negara dilanda pandemik Covid-19. Malaysia merekodkan pertumbuhan tinggi, dagangan kukuh dan keyakinan pelabur yang meningkat,” katanya.
Beliau berkata, rakyat kini menuntut perubahan besar dan Malaysia mesti diselamatkan serta diletakkan kembali di landasan yang betul.


