Jangan izinkan Trump pijak seincipun bumi Malaysia!

 

CUBA fikirkan apa lagi Israel  yang mendapat sokongan kuat Amerika Syarikat (AS) tidak lakukan di bumi Palestin.

Atas restu AS sehingga 4 September lalu, seramai 64,231 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera rejim Zionis. Setiap hari pasti ada serangan ke atas rakyat Palestin. Selain membunuh dengan menggunakan senjata api termasuk serangan udara, Israel juga menyekat segala bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.

Rakyat Palestin berebut-rebut ketika mengambil makanan di Gaza bagi mengelakkan mereka kebuluran.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan bahawa penduduk Gaza sedang mati kelaparan sedangkan makanan yang mampu menyelamatkan nyawa masih tersangkut dalam trak berhampiran dan tidak dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Tedros turut menekankan bahawa penggunaan kelaparan terhadap orang awam sebagai kaedah peperangan merupakan jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa, sambil memberi amaran bahawa keadaan berterusan di Gaza berisiko menormalkan amalan sedemikian dalam konflik masa hadapan.

Pada masa sama,  AS mengenakan sekatan terhadap tiga kumpulan hak asasi Palestin yang meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat Israel atas pertuduhan genosid di Gaza.

Dan ketika artikel ini ditulis perkembangan terbaru dari Gaza yang dilaporkan oleh portal ArabNews ialah tentera Israel mengarahkan rakyat Palestin di bandar itu untuk berpindah ke ‘kawasan kemanusiaan; yang ditetapkan di selatan ketika ia memperluaskan operasinya sebagai persediaan untuk merampas bandar yang dilanda kebuluran itu. termasuk menyasarkan bangunan tinggi.

Kumpulan bantuan telah berulang kali memberi amaran bahawa pemindahan berskala besar di Kota Gaza akan memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang teruk, selepas pihak berkuasa terkemuka dunia dalam krisis makanan mengisytiharkan bandar itu dicengkam oleh kebuluran.

 

K

Kenapa rejim Zionis yang dipimpin oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu begitu bermaharajalela menceroboh bumi Palestin, memusnahkan Gaza dan membunuh rakyat Palestin? Bukankah apa yang dilakukan oleh Netanyahu jelas-jelas jenayah perang? Bukankah Netanyahu sudah diisytihar penjenayah antarabangsa berikutan kekejaman di Gaza?

Tetapi kenapa Israel tidak menghentikan kekejamannya? Kenapa Benjamin Netanyahu terus mengarahkan tentera menghancurkan Gaza dan membunuh rakyat Palestin? Jawapannya mudah! Kerana mereka disokong oleh Amerika Syarikat, dilindungi oleh Presiden Donald Trump dan dibantu persenjataan daripada AS.

Malah kita perlu ingat, AS juga menggunakan kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menghalang badan dunia itu mengiktiraf negara Palestin. Dan  AS  turut menggunakan kuasa veto tidak kurang daripada lima kali untuk menghalang pelaksanaan gencatan segera tanpa syarat di Gaza!

Berdasarkan sikap AS terhadap Palestin adakah layak untuk Malaysia – sebuah negara yang sejak dulu membela rakyat Palestin mahu membenarkan Trump menjejak kaki ke bumi Malaysia pada Oktober depan untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN?

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membiarkan sahaja apa jua yang mahu dilakukan oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terhadap rakyat Palestin.

Layakkah seorang yang bersekutu dengan Netanyahu pembunuh rakyat Palestin diberi izin memasuki Malaysia yang rakyatnya  sanggup memboikot  KFC dan Starbuck sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin?  Kerajaan Malaysia perlu  mengkaji semula jemputan kepada kawan karib Netanyahu tu.

Benar, Malaysia menjemput beliau atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sepatutnya inilah masanya kita menunjukkan ketegasan dengan membatalkan jemputan kepada Trump. Ia bagi membuktikan kepada dunia bahawa kita sama sekali tidak berkompromi dalam soal membela nasib rakyat Palestin.

Adalah malang jika selama ini kita beria-ia menyokong rakyat Palestin, menentang habis-habisan kekejaman rejim Zionis dan mengecam AS kerana memihak kepada Israel tetapi tiba-tiba kita menyambut Trump ke negara kita. Penulis tidak tahu apa yang kita harapkan melalui kedatangan Trump yang beberapa kali menjemput Netanyahu ke Rumah Putih apabila ada negara mengecam kebiadaban Israel di Gaza.

Tindakan itu membuktikan Trump tidak pernah dan tidak mungkin akan mempedulikan apa juga kecaman dunia terhadap persekongkolan AS dengan Israel. Jadi kalaulah Malaysia berharap dengan kedatangan Trump, Malaysia secara berdepan atau bersemuka boleh mendesak Israel menghentikan kekejaman di Gaza…ia sesungguhnya satu mimpi yang hebat.

Percayalah Trump sama sekali tidak akan peduli apapun yang Malaysia, negara ASEAN atau negara Islam mendesak AS dalam soal Palestin sebab itulah AS terus bertegas tidak akan mengiktiraf negara Palestin. Malah pada 5 September lalu, Setiausaha Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio memberi amaran kepada negara-negara lain bahawa pengiktirafan terhadap negara Palestin akan mencetuskan lebih banyak masalah dan mengganggu usaha damai.

Daripada kenyataan iRubio itu, kita boleh faham bahawa buatlah apa sahaja, katalah apa sahaja, AS tetap akan bersekutu bersama Israel sekaligus akan menyaksikan bumi Palestin akan dihancurkan dengan sokongan Trump. Sebab Itulah  jangan benarkan Trump menjejak seinci bumi Malaysia ini.

Diharapkan kerajaan melalui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak henti-henti bercakap membela Palestin ke manapun beliau pergi akan membatalkan jemputan kepada Trump. Kalau tidak sia-sia sahaja kita memperjuangkan nasib  Palestin tetapi pada sama membenarkan kawan baik pembunuh rakyat negara itu datang ke sini. Fikirkanlah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img