SUARA AWANG SELAMAT
SEKALI lagi Awang mahu menyentuh mengenai apa yang berlaku di Indonesia dalam tempoh seminggu kebelakangan ini.
Awang bukannya mahu memburuk-burukkan negara garuda tersebut tetapi Awang merasakan adalah terlalu penting untuk kita mengambil pengajaran daripada peristiwa demonstrasi sehingga rusuhan yang tercetus.
Sesungguhnya apa yang berlaku sekali lagi mencampakkan Indonesia dalam suasana huru-hara sehingga ia mengakibatkan kerugian cukup besar kepada negara itu.
Justeru sudah pasti bukan sahaja sebagai negara jiran, malah untuk negara sendiri Awang berharap sang politikus Malaysia akan benar-benar menelaah apa yang terjadi serta mengambil iktibar serta pengajaran.
Awang melontarkan harapan itu disebabkan kerana ulah sang politikuslah yang menyebabkan Indonesia menerima nasib sedemikian. Rakyat negara itu bangkit kerana melihat sang politikus yang sepatutnya membela nasib rakyat, melihat kesusahan rakyat sebaliknya seolah-olah hanya memenuhi temolok sendiri.
Ketika rakyat bangun awal pagi dan pulang tengah malam mencari wang untuk membeli segenggam beras, sang politikus boleh pula menaikkan elaun beras anggota DPR daripada Rupiah (Rp) 10 juta (RM2,562) kepada Rp12 juta (RM3,074) sebulan manakala elaun minyak dinaikkan menjadi Rp 7 juta (RM1,793) sebulan berbanding Rp 4 juta (RM1,024).
Turut mencetus kemarahan ialah bagaimana sang politikus menunjukkan kemewahan hidup mereka termasuk rumah yang berharga berpuluh-puluh juta sedangkan di bawah jutaan rakyat hidup merempat.
Rakyat juga berasa marah kepada sang pemimpin yang berjanji macam-macam semasa pilihan raya tetapi apabila sudah berkuasa, pelbagai alasan diberikan…janji tinggal janji.
Akhirnya semua itu bagaikan mengumpul gumpalan kolesterol yang akhirnya menyebabkan jantung tersumbat. Begitulah juga kemarahan rakyat.
Namun rakyat Indonesia bernasib baik kerana Presiden Prabowo Subiato cepat bertindak dengan memenui segala tuntutan rmereka. Elaun DPR dipotong, kematian penunggang ojek Affan Kurniawan dibela dan anggota DPR yang celupar digantung tugas oleh parti masing-masing.
Awang harap ahli-ahli politik Malaysia tidak memandang remeh apa yang terjadi di negara jiran itu. Walaupun Awang percaya rakyat Malaysia tidak akan turun ke jalanan merusuh tetapi jangan yakin sangat sebab tidak semua perkara boleh diatur oleh sang politikus.
Awang – Tak pandai politik


