SATU lagi gempa bumi lemah 2.9 magnitud berlaku di Sri Medan, Parit Sulong, pukul 6.39 petang tadi.
Ia adalah gegaran kelapan sejak kejadian pertama berlaku di Segamat pada 24 Ogos lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman web memaklumkan, gempa bumi lemah itu berlaku kira-kira 10 kilometer dari barat daya Yong Peng.
Ia berpusat pada koordinat 1.95 darjah Utara, 102.9 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer.
MetMalaysia akan terus memantau keadaan dan perkembangan gempa bumi berkenaan.
Sebelum ini, gempa pertama berlaku dengan kekuatan 4.1 magnitud, diikuti 3.2 magnitud pada 27 Ogos, 2.5 magnitud pada 28 Ogos, 3.4 magnitud pada 29 Ogos), 2.7 magnitud pada 30 Ogos dan 2.9 magnitud, pada 31 Ogos lalu.


