PEMUDA Pas Selangor akan menganjur siri jelajah ceramah ke seluruh negeri itu khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PH) yang menjadi sasaran untuk dirampas dalam Pilihan Raya Umum Ke (PRU-16) nanti.
Naib Ketua Pemudanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, langkah itu disebabkan Pemuda Pas kecewa dengan jawatan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco-Exco Kerajaan Negeri ketika sesi penggulungan perbahasan Bajet 2026 dalam isu-isu yang dibangkitkan sebelum ini.
‘’Antara isu yang menjadi perhatian oleh Pemuda Pas Selangor ialah indeks kesejahteraan sosial rakyat Selangor, miskin bandar, rumah mampu milik, infrastruktur, jurang pendapatan yang amat ketara antara bandar dan luar bandar, serta beberapa isu asas yang lain,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Pemuda Pas yakin rakyat Selangor sangat menantikan pendedahan serta kritikan yang akan dibawa oleh mereka terhadap Bajet 2026 yang dibentangkan oleh Amirudin sebelum ini.
‘’Tambahan lagi, isu krisis integriti yang menyelubungi pemimpin-pemimpin PKR di peringkat nasional serta isu perebutan kuasa dan jawatan antara ‘warlord-warlord’ PKR yang tidak berkesudahan pastinya akan membentuk gelombang kemarahan rakyat dan anak muda khususnya dalam kalangan Gen -Z,’’ katanya.
Pemuda Pas Selangor kata beliau percaya rakyat itu berhak mendapat kepimpinan negeri yang lebih cekap dan mampu mengagihkan kekayaan negeri kepada rakyat.
‘’Tidak ada makna kalau negeri kita kaya, tetapi rakyat tidak mampu menikmati kekayaan tersebut. Pemuda Pas Selangor sebagai pembangkang yang konstruktif menegaskan bahawa usaha ini adalah sepenuhnya untuk rakyat berdasarkan kepada kepada lunas dan kerangka tanggungjawab demokrasi di negeri ini,’’ katanya.


