POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai menceroboh masuk sebuah rumah dan mencederakan penghuni lelaki ketika bergelut di Taman Bentong Makmur di Bentong, Pahang pada Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa bertindak nekad bergelut dengan suspek yang ketika itu memaut leher dan menutup mulut isterinya sehingga mengalami kecederaan di muka dan leher.
Tindakan berani lelaki berusia 36 tahun itu berjaya menyelamatkan nyawa isterinya apabila suspek terus melarikan diri selepas berlaku pergelutan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek berjaya melepaskan diri melalui balkoni rumah di tingkat atas dengan tangan kosong.
“Siasatan awal pihak polis mendapati suspek masuk ke dalam rumah mangsa dengan memanjat pagar rumah jiran yang tidak berpenghuni.
“Suspek seterusnya naik ke balkoni bilik tidur di tingkat satu dan masuk ke dalam rumah itu melalui pintu bilik tidur yang tidak berkunci,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Zaiham berkata, menyedari mangsa berada seorang diri di ruang tamu, suspek bertindak memaut leher dan menutup mulut wanita itu dari arah belakang.
“Suami mangsa yang kebetulan pulang ke rumah pada waktu itu menyedari kejadian tersebut dan terus bergelut dengan suspek.
“Walau bagaimanapun, suspek berjaya melepaskan diri namun gagal melarikan barang berharga milik mangsa,” jelasnya.
Susulan kejadian itu kata beliau, polis segera menggerakkan pasukan untuk mengesan suspek dan berjaya berjaya memberkas suspek berusia 21 tahun di kawasan premis perniagaan Taman Bentong Makmur kira-kira jam 11 malam hari yang sama.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek yang memiliki satu rekod jenayah lampau itu kini ditahan reman sehingga 9 Disember ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Zaiham berkata, pihak polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan kejadian jenayah agar penjenayah dapat diberkas dalam tempoh yang singkat.


