SEORANG lelaki disahkan maut selepas kereta Proton Satria dipandunya terbabas sebelum masuk ke dalam semak dekat Lebuh SPA PLKN, Alor Gajah, Melaka, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun maut di tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah Proton Satria warna perak. Mangsa dalam perjalanan dari Lebuh SPA ke Gangsa.
“Hasil siasatan awal, kereta terbabit dipercayai gagal dikawal lalu terbabas memasuki kawasan semak di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, akibat kemalangan tersebut, pemandu kenderaan mengalamu kecederaan parah di kepala.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Pihak polis turut menyeru mana-mana saksi bebas yang melihat kejadian agar tampil membantu siasatan.


