SEORANG lelaki warga emas maut, manakala isterinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang menukar haluan secara tiba-tiba di Jalan Ipoh–Lumut, dekat Ipoh, Sabtu lalu.
Kemalangan kira-kira jam 3 petang itu berlaku ketika lori jenis Hino dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun secara tiba-tiba membelok ke simpang kiri di persimpangan lampu isyarat jalan itu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa, Ahmad Taufik Abu Bakar, 60, yang menunggang di laluan kiri belakang kenderaan berat itu dikatakan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kiri lori terbabit.
“Berikutan rempuhan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pembonceng yang juga isterinya Azizah Mat Jamat, 61, pula cedera parah patah kaki kiri dan segera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan itu.
Abang Zainal Abidin berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk proses bedah siasat.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati motosikal terbabit tidak memiliki cukai jalan selain insurans telah tamat tempoh, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dan menambah pemandu lori turut ditahan untuk membantu siasatan.

Terdahulu, satu video papan pemuka berdurasi 30 saat tular melalui media sosial sejak pagi ini, memaparkan sebuah lori yang memberikan isyarat sebelah kanan tiba-tiba membelok ke kiri setelah melepasi simpang ketika lampu isyarat bertukar hijau sehingga mengakibatkan kemalangan terbabit.


