POLIS menahan seorang lelaki warga Bangladesh kerana dipercayai merogol remaja perempuan berusia 16 tahun yang merupakan rakan sekerjanya sehingga hamil, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.
Suspek berusia 31 itu ditahan oleh sepasukan polis yang menerima laporan daripada ibu mangsa mendakwa anak perempuannya itu telah dirogol oleh rakan sekerjanya sehingga disahkan hamil.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, ibu mangsa pernah membuat laporan pada Mei lalu selepas anaknya disahkan hamil ketika membuat rawatan susulan di sebuah klinik di Nilai, Negeri Sembilan.
“Ibu remaja terbabit sebelum itu membawa anaknya yang mengadu sakit perut ke klinik, namun ketika itu doktor mengesyakinya mengalami gastrik.
“Beberapa bulan kemudian, mangsa telah membuat rawatan susulan selepas perutnya dilihat makin membesar dan ibunya terkejut apabila pihak hospital mengesahkannya hamil,” katanya yang memaklumkan wanita itu kemudian membuat laporan polis mengenai perkara menimpa anaknya.
Beliau berkata, susulan daripada itu, polis telah menahan suspek berusia 31 tahun di Balai Ketibaan KLIA kira-kira jam 11.44 pagi ini.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku terlibat dalam kes rogol ke atas mangsa yang merupakan rakan sekerjanya.
“Selepas kejadian, suspek melarikan diri dengan pulang ke negaranya dan suspek turut mengaku melakukan jenayah rogol itu sebanyak empat kali,” katanya.
Tambah beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban esok untuk permohonan reman.


