SEORANG wanita dan bekas teman lelakinya masing-masing dijatuhi hukuman penjara pada Isnin selepas didapati bersalah memeras ugut bintang bola sepak Korea Selatan, Son Heung-min, dengan dakwaan kehamilan palsu.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap wanita berusia 20-an yang hanya dikenali dengan nama keluarga Yang, manakala bekas teman lelakinya berusia 40-an, Yong, dijatuhi hukuman penjara dua tahun.
Yang didakwa atas kesalahan pemerasan dan cubaan memeras ugut selepas memperoleh 300 juta won (kira-kira RM740,000) daripada Son, pemain Los Angeles Football Club, pada Jun tahun lalu. Dia menghantar gambar imbasan ultrabunyi bayi dan mengugut akan mendedahkan kononnya dia hamil anak Son kepada umum.
Siasatan mendapati Yang sebelum itu cuba memeras ugut seorang lelaki lain, namun gagal selepas individu tersebut tidak memberikan sebarang reaksi.
Antara Mac dan Mei tahun ini, Yang dan Yong sekali lagi cuba memeras ugut Son dengan menuntut 70 juta won (RM195,997) tambahan, sambil mengugut untuk memberitahu keluarga serta media mengenai dakwaan kehamilan dan pengguguran tersebut. Yong didakwa atas cubaan memeras ugut.
“Selepas mendapati dirinya hamil, Yang tidak pernah mengesahkan siapa bapa kandungan berkenaan.’’
“Mangsa ialah seorang selebriti dan terdedah kepada jenayah seperti ini. Defendan mengambil kesempatan untuk mendapatkan wang dalam jumlah besar, menjadikan kesalahan ini sangat serius,’’ kata panel hakim.
Mahkamah turut menyatakan bahawa Son mengalami tekanan psikologi yang besar akibat perbuatan mereka.


