SEORANG wanita maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas lalu terjatuh ke Sungai Muar berhampiran pusat rekreasi Tanjung Agas di Tangkak, petang ini.
Mangsa yang berusia lingkungan 20-an terperangkap dalam kenderaan dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu.
Pegawai Bomba Kanan Satu Jahairi Shukor dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 3.48 petang.
Menurutnya, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan dengan 10 anggota digerakkan dari BBP Tangkak dan Muar ke lokasi sejauh dua kilometer.

“Setibanya ke lokasi pada jam 3.51 petang, terdapat kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna jenis Nissan Grand Livina yang terbabas ke dalam sungai.
“Mangsa yang terperangkap dalam kenderaan itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba namun dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Jahairi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 petang.


