SEORANG penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Segamat, Johor maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta yang keluar simpang di Kilometer 188, Jalan Johor Bahru-Seremban, dekat Buloh Kasap, Segamat semalam.
Kemalangan kira-kira jam 5 petang itu mengakibatkan Ahmad Fadhlan Fakhri Mohd Faizul, 20, penuntut Diploma Sains Matematik cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan dikatakan tidak sempat mengelak kereta yang keluar dari simpang secara tiba-tiba.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia lingkungan 60-an itu keluar dari persimpangan Jalan Hussin menghala ke Jalan Kuari.
Katanya, motosikal dinaiki penuntut terbabit dari arah Buloh Kasap menghala ke Segamat tidak sempat mengelak sebelum merempuh kereta berkenaan.
“Berikutan rempuhan itu penunggang motosikal cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi balai trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-932 5811 bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Segamat dalam kenyataan menzahirkan dukacita susulan berita kematian salah seorang penuntutnya.
“Dengan rasa penuh hiba, kami ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad Fadhlan atas pemergian insan yang dikasihi.
“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar buat kami semua, khususnya warga Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Segamat,” katanya.


