POLIS mengesahkan janin bayi yang ditemukan dalam sebuah lori sampah di kawasan Bukit Jalil, Cheras tengah hari semalam berusia kira-kira 25 minggu.
Selain itu, keadaan janin itu semasa ditemukan terdapat kesan kecederaan pada bahagian perut, tengkorak kepala pecah dan tali pusat sudah terputus.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan empat individu.
“Penemuan janin itu disedari pekerja syarikat pengurusan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan penemuan satu janin bayi dalam sebuah lori sampah di kawasan Bukit Jalil apabila polis dimaklumkan mengenainya pada jam 12.51 tengah hari.
Seorang pekerja lelaki syarikat Alam Flora menemukan janin tersebut ketika memunggah sampah di dalam lori sebelum memaklumkan kepda pengurusan syarikat.
Janin yang ditemukan itu adalah lelaki berukuran panjang 35 sentimeter.
Berikutan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Norelfi Anna Ahmad Jais menerusi talian 011-1004 8773 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-9284 5050, Polis Kontinjen Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan.


