Jabatan Peguam Negara arah kes tembak di Durian Tunggal diklasifikasikan kes bunuh

JABATAN Peguam Negara (AGC) mengarahkan siasatan polis terhadap kes tembakan maut melibatkan tiga lelaki yang disyaki perompak di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Arahan itu dikeluarkan hari ini selepas meneliti laporan yang dikemukakan polis berhubung kes berkenaan.

“Jabatan Peguam Negara telah dirujuk dengan laporan kes tiga lelaki ditembak mati di Melaka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Berdasarkan taklimat dan cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, Jabatan ini bersetuju dan mengarahkan agar siasatan diklasifikasikan semula di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.

“Penelitian awal Jabatan ini mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa jua keputusan muktamad dibuat,” kata AGC dalam kenyataan.

Sebelum ini, Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, dilaporkan berkata tiga penjenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka menyerang anggotanya  menggunakan parang di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, 24 Nov lalu.

Semalam, peguam mewakili keluarga tiga individu terbabit meminta Dzulkhairi direhatkan kerana didakwa mengganggu siasatan Bukit Aman.

Rajesh Nagarajan berkata, Dzulkhairi membuat kenyataan awam mengenai kes itu walaupun Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan pasukan khas mengambil alih siasatan.

Beliau berkata, tindakan itu menimbulkan tanggapan siasatan masih dijalankan polis Melaka, sekali gus membangkitkan kebimbangan mengenai langkah berkecuali.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menyatakan siasatan itu mesti dijalankan secara telus.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img