Suami isteri didakwa menipu hampir RM500,000 untuk bekal makanan lembu ke Iran

SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu sebuah syarikat berhubung pembekalan makanan lembu ke Iran membabitkan kerugian lebih RM400,000.

Wong Hun Boon dan isteri, Heng Vie Yet kedua-duanya berusia 51 tahun, didakwa bersama-sama menipu syarikat Novin Roshd Shahran Foudeh dengan memperdaya untuk mempercayai bahawa syarikat Stillwater Venture Sdn Bhd mampu membekalkan 85 metrik tan makanan lembu ke Iran.

Tindakan pasangan itu yang merupakan pengarah syarikat Stillwater Venture telah mendorong syarikat terbabit menyerahkan sejumlah EUR 105,295 (RM488,197.60) ke dalam akaun bank atas nama syarikat Stillwater Venture sebagai bayaran pendahuluan 70 peratus di mana syarikat tersebut tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdaya sedemikian.

Kesalahan kedua-dua mereka didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur antara 1 Julai 2024 hingga 12 Disember 2024, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zul Hilmi Latif memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh manakala pasangan itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan mereka tidak mampu membayar wang jaminan selain telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Hakim Azrul Darus kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Januari depan untuk sebutan semula kes.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img