BEKAS bintang perlumbaan NASCAR, Greg Biffle, disahkan antara beberapa individu yang terkorban dalam satu nahas pesawat di Lapangan Terbang Serantau Statesville, kawasan luar bandar North Carolina, hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Gabenor North Carolina, Josh Stein, manakala NASCAR menerusi kenyataan rasmi di media sosial memaklumkan bahawa isteri Biffle, Cristina, anak perempuannya Emma dan anak lelakinya Ryder turut maut dalam kejadian berkenaan.

Selain itu, tiga lagi individu iaitu Dennis Dutton, Jack Dutton dan Craig Wadsworth juga disahkan terkorban, menurut kenyataan NASCAR.
Dalam satu kenyataan bersama keluarga mangsa berkata tragedi itu meninggalkan kesan mendalam kepada semua pihak terlibat.
“Kami amat hancur dengan kehilangan insan tersayang. Tragedi ini telah meninggalkan luka dan kesedihan yang tidak terungkap dengan kata-kata,” menurut kenyataan itu.
Pihak pengurusan lapangan terbang memaklumkan bahawa nama mangsa tidak dapat diumumkan secara rasmi buat masa ini berikutan kebakaran selepas nahas, manakala proses pengecaman masih menunggu pengesahan pemeriksa perubatan.
Menurut laporan awal, insiden yang digambarkan sebagai “kejadian pesawat” itu berlaku sekitar jam 10 pagi waktu tempatan, dengan pihak berkuasa mengesahkan terdapat beberapa kematian di lokasi kejadian.
Spekulasi mengenai penglibatan Biffle mula timbul selepas didapati pesawat berkenaan dimiliki oleh GB Aviation Leasing, sebuah syarikat yang beralamat sama dengan kediaman Biffle di Mooresville, North Carolina.
Data penjejakan penerbangan daripada laman FlightAware menunjukkan pesawat itu berlepas pada jam 10.06 pagi, sebelum berpatah balik secara tiba-tiba ke arah lapangan terbang. Pesawat tersebut dilaporkan dijadualkan untuk meneruskan penerbangan dari Sarasota, Florida ke Bahamas pada petang hari yang sama.
Biffle, yang juga seorang juruterbang berlesen, sebelum ini dikenali kerana usaha kemanusiaannya menggunakan helikopter bagi membantu penduduk di kawasan terpencil North Carolina yang terjejas teruk akibat banjir susulan Taufan Helene tahun lalu.
Dalam hantaran di media sosial, Stein berkata Biffle bukan sahaja dikenali sebagai atlet sukan permotoran, malah seorang individu yang prihatin terhadap masyarakat.
“Di sebalik kejayaannya sebagai pemandu NASCAR, Greg Biffle menjalani kehidupan penuh keberanian dan belas ihsan, termasuk membantu penduduk western North Carolina selepas Taufan Helene,” katanya.
Sepanjang kerjaya profesionalnya, Biffle, 55, mencatatkan 19 kemenangan dalam Siri Piala NASCAR. Pencapaian terbaik beliau adalah pada musim 2005, apabila menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan mata di belakang Tony Stewart.
Beliau menamatkan musim dalam kelompok 10 teratas sebanyak enam kali, termasuk menduduki tempat ketiga pada 2008 dan kelima pada 2012. Biffle juga merupakan calon Dewan Kemasyhuran NASCAR dan disenaraikan sebagai salah seorang daripada 75 Pemandu Terhebat NASCAR.
NASCAR menyifatkan pemergian Biffle sebagai satu kehilangan besar kepada dunia sukan permotoran.
“Greg lebih daripada sekadar juara perlumbaan. Beliau adalah ahli komuniti NASCAR yang disayangi, pesaing berintegriti dan sahabat kepada ramai,” menurut kenyataan itu.


