AHLI Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang hari ini secara rasmi melaporkan diri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dengan tegas menyatakan, kepimpinan beliau tidak pernah ditentukan oleh warna kulit.
Sebaliknya, beliau yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, kepimpinannya ditentukan oleh dasar, pelaksanaan dan hasil kerja.
Berikut kenyataan penuh dalam Facebook beliau selepas melaporkan diri di Menara Seri Wilayah Kuala Lumpur;
Hari ini, saya memulakan tugas sebagai Menteri baharu di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi serta para pegawai Jabatan Wilayah Persekutuan atas sambutan yang diberikan kepada saya pagi ini.
Dalam melaksanakan amanah ini, saya komited untuk memimpin Wilayah Persekutuan dengan ketelusan, tanggungjawab dan pemahaman yang jelas terhadap realiti yang dihadapi oleh komuniti setempat.
Tumpuan saya adalah untuk memperkukuh kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam, menggalakkan pembangunan mampan, memelihara kawasan hijau dan rekreasi serta mempertingkatkan usaha mitigasi banjir.
Ini merupakan satu tanggungjawab yang besar, dan saya akan memikulnya dengan integriti, disiplin dan keazaman, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI serta harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam yang cekap, inklusif dan berkesan.
Timbalan Menteri, YB Datuk Lo Su Fui, dan saya sendiri mempunyai latar belakang perundangan — satu kekuatan penting bagi tadbir urus yang baik dan pembuatan keputusan yang mantap.
Pelantikan strategik seorang Timbalan Menteri dari Sabah juga mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan Labuan menerima perhatian dan sokongan yang lebih menyeluruh. Seperti semua perkara berkaitan Wilayah Persekutuan, keputusan dasar utama akan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri di bawah kepimpinan Perdana Menteri.
Kaum atau warna kulit tidak pernah mentakrifkan atau mengehadkan kerja saya. Sejak tahun 2008, sama ada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ahli Parlimen Segambut, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mahupun Menteri Belia dan Sukan, fokus saya sentiasa tertumpu kepada dasar, pelaksanaan dan hasil.
Fikiran dan hati saya sentiasa komited sepenuhnya untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya bersedia untuk terus bekerja tanpa berlengah dan membiarkan rekod prestasi saya berbicara.
Berdasarkan pengalaman tersebut, pentadbiran saya akan mengutamakan kerjasama rapat dengan semua Ahli Parlimen yang dipilih di Wilayah Persekutuan. Sebagai wakil rakyat, merekalah yang memahami denyut nadi kawasan masing-masing. Tiada suara demokrasi yang lebih penting untuk didengari. Suara rakyat adalah suci.
Visi saya untuk Wilayah-Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan bandar terbesar negara, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran, serta Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir — adalah jelas: untuk memaksimumkan potensi masing-masing dan menjadi inspirasi kepada bandar-bandar lain di seluruh negara, agar bersih dari segi hakikat dan rupa, serta menjadi tempat tinggal yang selamat di mana rakyat boleh hidup, bekerja dan menikmati kehidupan sepenuhnya.


