SEORANG ustaz yang memukul pelajar madrasah menggunakan topi keledar dalam satu kejadian di sebuah premis, di Telipok didakwa atas 13 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kes tersebut telah selesai disiasat dan dibawa kepada pihak pendakwaan.
“Hasil arahan yang diterima, suspek dituduh di mahkamah pada 22 Disember (hari ini) di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan 13 pertuduhan berasingan berkaitan kesalahan menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, kes itu susulan penularan satu rakaman video pada 14 Disember lalu yang memaparkan perbuatan kekerasan terhadap pelajar.
“Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis telah menjalankan siasatan terperinci serta membuat tangkapan ke atas suspek yang juga merupakan pengelola atau tenaga pengajar madrasah berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.
Kasim berkata, kertas siasatan kes telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 17 Disember lalu.
Kasim dalam pada itu menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang bentuk kekerasan, khususnya melibatkan kanak-kanak.
“Sehubungan itu, tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang awam juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, tidak menyebarkan maklumat tidak sahih serta menghormati proses perundangan dan privasi semua pihak terlibat, khususnya mangsa,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu akan menyiasat setiap kes secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang demi kepentingan keadilan serta ketenteraman awam.


