POLIS menahan lapan individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan insiden pergaduhan di sebuah kedai makan terbuka di Bandar Baru Permas Jaya di Masai, Johor Bahru pada malam Sabtu lalu.
Kesemua mereka ditahan atas kesalahan merusuh menggunakan senjata dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.05 malam di sebuah restoran makanan Cina di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata, siasatan awal polis mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada masalah peribadi dan perasaan cemburu.
“Hasil siasatan awal juga mendapati kejadian berlaku apabila sekumpulan lelaki dianggarkan 20 orang menyerang dua mangsa menggunakan kerusi plastik dan botol kaca, menyebabkan seorang mangsa mengalami kecederaan pada muka dan badan.
“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 17 hingga 46 tahun dan seorang daripada mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Raub, polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit bagi tujuan siasatan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek yang ditahan negatif dadah.
Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.
Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga 24 Disember ini bagi membantu siasatan.
“Polis masih giat mengesan suspek lain yang terlibat dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta sentiasa mematuhi undang-undang,” tegasnya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial video berdurasi satu minit 29 saat yang memaparkan insiden pergaduhan dan merusuh melibatkan sekumpulan lelaki berpakaian hitam bertindak memukul dua lelaki yang sedang makan menggunakan objek seperti kerusi sebelum dileraikan oleh orang awam.


