Kepimpinan perisikan pertahanan bukan sekadar naik pangkat, bintang di bahu

Oleh Penulis Khas

TERDAPAT perkembangan yang menunjukkan bahawa organisasi Perisikan Pertahanan negara atau Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) bakal memasuki satu fasa baharu menjelang tahun 2026.

Tanpa berniat untuk membuat spekulasi mengenai individu tertentu yang akan menerajui organisasi tersebut, penulisan ini memilih untuk menumpukan perhatian kepada persoalan yang lebih asas dan strategik, iaitu apakah bentuk kepimpinan yang wajar dan diperlukan untuk mengepalai badan perisikan pertahanan negara dalam realiti keselamatan semasa.

Dalam perbahasan keselamatan negara terdapat kecenderungan untuk melihat kepimpinan melalui lensa pangkat dan hierarki semata-mata. Namun, dalam dunia keselamatan moden yang dicirikan oleh peperangan hibrid, manipulasi maklumat dan persaingan strategik kuasa besar, pendekatan sedemikian semakin tidak memadai. Perisikan pertahanan bukan ruang untuk simbol tetapi medan kepakaran.

Perisikan pertahanan ialah benteng senyap negara tidak kelihatan, jarang diperkatakan tetapi menentukan sama ada sesebuah negara bertindak tepat atau tersilap langkah. Dalam konteks Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) beroperasi di tengah-tengah rantau Indo-Pasifik yang semakin sarat dengan tekanan geopolitik, ancaman bukan tradisional, perang siber dan operasi pengaruh.

Justeru, persoalan mengenai kepimpinan badan perisikan pertahanan tidak wajar disederhanakan sebagai soal giliran jawatan atau kesinambungan hierarki.

Ancaman keselamatan masa kini jarang hadir dalam bentuk konfrontasi terbuka. Ia berlaku secara senyap melalui naratif palsu, manipulasi persepsi, tekanan ekonomi dan serangan digital.

Ancaman sebegini menuntut perisikan yang tajam, matang dan berpandangan jauh bukan sekadar cekap mengurus laporan atau mematuhi prosedur. Perisikan yang lemah bukan sahaja gagal mengesan ancaman malah berisiko memberi keyakinan palsu kepada pembuat keputusan.

Hasrat membangunkan Angkatan Tentera Masa Depan menuntut keberanian melakukan perubahan asas termasuk cara kita melihat kepimpinan perisikan. ATM masa hadapan bukan hanya memerlukan platform moden dan teknologi canggih tetapi juga kecerdasan strategik yang dibina melalui pengalaman panjang, kepakaran tulen dan kebijaksanaan institusi.

Dalam hal ini perlu ditegaskan secara jujur bahawa kepimpinan perisikan pertahanan bukan posisi yang boleh dipenuhi semata-mata melalui kenaikan pangkat atau simbol bintang di bahu. Kepimpinan perisikan menuntut pengalaman penuh sekurang-kurangnya dua hingga tiga dekad dalam disiplin perisikan khususnya di peringkat strategik melalui operasi, analisis, perancangan, pengurusan krisis dan kerjasama antara agensi serta antarabangsa.

Pemimpin perisikan yang berwibawa ialah mereka yang telah “dibentuk oleh sistem perisikan itu sendiri”, bukan sekadar singgah di puncak kerjaya tanpa melalui keseluruhan ekosistemnya. Pengalaman pelbagai fungsi inilah yang membezakan antara pemimpin yang memahami perisikan sebagai profesion dengan mereka yang melihatnya sekadar sebagai satu lagi jawatan kanan untuk dilengkapkan dalam perjalanan kerjaya.

Lebih membimbangkan, kegagalan membezakan antara kepakaran fungsional dan simbol hierarki berisiko melemahkan institusi perisikan itu sendiri. Apabila jawatan strategik dilihat sebagai kesinambungan automatik pangkat, budaya profesionalisme perisikan boleh terhakis manakala analisis strategik berisiko menjadi terlalu selamat terlalu berhati-hati atau terlalu selari dengan jangkaan bukannya realiti ancaman.

Dalam dunia yang saling bergantungan perisikan pertahanan juga berfungsi sebagai instrumen diplomasi senyap. Kerjasama risikan, perkongsian maklumat terhad dan saluran komunikasi strategik memerlukan kepimpinan yang memahami geopolitik, sensitiviti nasional dan implikasi jangka panjang setiap keputusan. Kesilapan dalam pertimbangan perisikan bukan sahaja memberi kesan dalaman malah boleh mencetuskan implikasi serantau.

Penguasaan teknologi perisikan moden turut menjadi prasyarat asas. Analitik data besar, kecerdasan buatan, OSINT dan sistem pengawasan bukan lagi elemen sokongan tetapi teras kepada perisikan kontemporari. Pemimpin yang tidak memahami teknologi ini secara konseptual dan strategik berisiko menjadi bergantung sepenuhnya kepada penasihat teknikal, sekali gus melemahkan kedaulatan maklumat negara.

Akhirnya, perisikan pertahanan bukan sekadar alat menghadapi ancaman tetapi mekanisme pencegahan konflik dan pengurusan risiko strategik. Keupayaan memberi amaran awal, menilai niat dan mengelakkan salah tafsir menentukan sama ada negara bertindak secara bijaksana atau reaktif.

Kesimpulannya, kepimpinan badan perisikan pertahanan ATM mesti dilihat sebagai jawatan kepakaran strategik tertinggi bukan sekadar pencapaian hierarki. Dalam era ancaman global yang semakin kompleks, Malaysia tidak mampu berkompromi dengan simbolisme.

Negara memerlukan pemimpin perisikan yang benar-benar berpengalaman terbentuk oleh disiplin perisikan dan berani memberi penilaian strategik yang jujur walaupun ia tidak selesa. Dalam dunia keselamatan moden, kegagalan memilih kepakaran sebenar bukan sekadar kelemahan institusi, tetapi risiko kepada negara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img