Menteri Keselamatan Israel  cadang bina penjara ‘dikelilingi buaya’ untuk tahanan Palestin

MENTERI Keselamatan Negara Israel berhaluan kanan ekstrem, Itamar Ben-Gvir terus menunjukkan sikap kejamnya terhadap rakyat Palestin  apabila mencadangkan penubuhan sebuah pusat tahanan yang “dikelilingi buaya” bagi menempatkan tahanan Palestin.

Cadangan Ben-Gvir yang dianggap menteri Israel paling jahat merupakan perkembangan terbaharu kempen penindasan Israel yang semakin keras terhadap rakyat Palestin.

Media Palestin Quds memetik laporan saluran televisyen Israel, Channel 13, yang melaporkan Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) sedang meneliti apa yang disifatkan sebagai “cadangan luar biasa” itu, yang kononnya bertujuan menghalang cubaan melarikan diri dari penjara.

Menurut laporan tersebut, Ben-Gvir mengemukakan idea itu dalam satu taklimat keselamatan baru-baru ini bersama Ketua Pesuruhjaya IPS, Kobi Yaakobi.

Tapak yang dicadangkan terletak berhampiran Hamat Gader, sebuah pusat peranginan mata air panas di utara Israel yang terletak di Dataran Tinggi Golan Syria yang diduduki.

Media Israel melaporkan bahawa kawasan peranginan itu sudah mempunyai habitat buaya dan aligator yang dikawal, dan buaya tambahan akan dibawa masuk untuk mengelilingi penjara tersebut, dengan kawasan berpagar bagi menghalang pelarian.

Cadangan itu muncul ketika Parlimen Israel (Knesset) dijangka mengundi tidak lama lagi rang undang-undang yang dibawa oleh Ben-Gvir, yang akan membenarkan hukuman mati terhadap tahanan Palestin yang didakwa merancang atau melaksanakan serangan.

Rang undang-undang hukuman mati itu dijangka melalui dua bacaan lagi di Knesset, termasuk satu bacaan pada minggu hadapan, sebelum diluluskan menjadi undang-undang. Pada asalnya, ia bertujuan membenarkan hakim menjatuhkan hukuman mati ke atas rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan membunuh peneroka Israel atas alasan “nasionalistik”.

Bagaimanapun, undang-undang tersebut tidak terpakai kepada peneroka Israel yang membunuh rakyat Palestin dalam keadaan yang sama.

Tambahan baharu yang diumumkan Ben-Gvir awal minggu ini memperluaskan skop rang undang-undang itu kepada individu yang dituduh terlibat dalam serangan 7 Oktober 2023, yang akan dikenakan hukuman mati sebagai “hukuman mandatori”.

Dalam perkembangan berkaitan, satu laporan oleh Pejabat Pembela Awam Israel mendedahkan bahawa keadaan tahanan Palestin telah merosot dengan ketara sejak 7 Oktober, dengan ramai mengalami kebuluran teruk, kesesakan melampau dan keadaan kebersihan yang buruk.

Menteri-menteri kanan Israel berhaluan kanan ekstrem, termasuk Ben-Gvir, sebelum ini secara terbuka berbangga bahawa dasar bersifat perkauman mereka telah menyebabkan keadaan tahanan Palestin menjadi lebih keras.

Menurut laporan itu, pengurangan bekalan makanan kepada tahanan Palestin selepas serangan 7 Oktober telah menyebabkan “kebuluran teruk, ditunjukkan melalui penurunan berat badan mendadak serta simptom fizikal termasuk kelemahan melampau dan pengsan”, lapor akhbar Israel, Haaretz.

Laporan pembela awam itu, hasil lawatan ke beberapa penjara Israel seperti Ramon, Megiddo, Ayalon, Shatta, Eshel dan Ketziot, turut menyatakan bahawa tahanan Palestin “ditahan dalam sel gelap tanpa pencahayaan, dalam keadaan sanitasi yang teruk, haba yang menyeksa serta tanpa pengudaraan”.

Keadaan tersebut, menurut laporan itu, telah menyebabkan ramai tahanan mengalami masalah kesihatan serius.

Ketika ini, lebih 10,800 rakyat Palestin ditahan di penjara Israel, termasuk 450 kanak-kanak, 87 wanita, dan 3,629 individu yang ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

Menurut beberapa kumpulan pemantau tahanan Palestin, keadaan ini berterusan walaupun selepas perjanjian gencatan senjata di Gaza ditandatangani.

Sejak bermulanya perang genosid Israel di Gaza, sekurang-kurangnya 86 rakyat Palestin telah meninggal dunia dalam tahanan Israel, termasuk kira-kira 50 orang dari Gaza. Kumpulan pemantau tahanan menyifatkan tempoh sejak Oktober 2023 sebagai “peningkatan luar biasa” dalam “jenayah sistematik yang diamalkan di penjara Israel”, menjadikannya tempoh paling berdarah dalam sejarah gerakan tahanan sejak 1967.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img