MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan ibu Zayn Rayyan untuk menangguhkan hukuman penjara selama lima tahun kerana mengabai kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin tidak menerima rayuan Ismanira Abdul Manaf, 30, selaku perayu supaya dilepaskan sementara sehingga rayuan terhadap sabitan dan hukuman kes berkenaan didengar.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Pada 31 Oktober, Hakim, Dr Syahliza Warnoh mendapati ibu kepada dua anak itu bersalah dan dihukum penjara selama lima tahun.
Beliau memerintahkan wanita itu ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Katanya, tertuduh gagal menunjukkan faktor keistimewaan yang membolehkannya untuk menangguhkan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi.


